Polis Dubai Guna Kereta Lamborghini

DUBAI – Polis Dubai di Emiriah Arab Bersatu menggunakan sebuah kereta Lamborghini Aventador yang berharga hampir AS$550,000 (RM1.66 juta), lapor agensi berita AP semalam.

Kereta sport buatan Itali itu yang boleh mencecah kelajuan sehingga 349 kilometer sejam dicat dengan warna hijau dan putih.

Harga petrol di Dubai adalah lebih murah berbanding harga minuman.

Kelmarin, ibu pejabat polis Dubai menyiarkan gambar kereta tersebut di depan pusat beli-belah terbesar di dunia, Dubai Mall.

Pihak berkuasa di negara ini berdepan masalah kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian disebabkan kenderaan dipandu laju.

Menurut laporan media tempatan, seramai 33 orang mati akibat nahas jalan raya di Dubai dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Kereta sport itu juga digunakan polis Itali, Panama dan United Kingdom. – Agensi

32 Lelaki Bersejata Dari Filipina Ditahan

Tiga puluh dua individu yang menaiki sebuah bot ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi ini.
Pasukan keselamatan turut merampas pelbagai senjata seperti senjata api, barong dan kapak serta beberapa dokumen yang dibawa kumpulan lelaki itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata setakat ini kesemua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Kami belum mengenal pasti bangsa mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Kinabalu, di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata bot yang dikenali sebagai ‘kumpit’ yang dinaiki kumpulan lelaki itu ditunda ke Sandakan untuk siasatan lanjut.

Hamza sekali lagi memberi jaminan keadaan di semua daerah di Sabah terkawal dan menafikan dakwaan terdapat 100 pengganas bersenjata memasuki negeri ini.

“Pasukan keselamatan sentiasa mengawal keadaan dengan kawalan ketat di kawasan perairan Sabah,” katanya.

Sementara itu, pasukan Forensik menemui 15 lagi mayat di Kampung Tanduo, dekat Lahad Datu dan kesemua mayat itu akan dibawa keluar dari kawasan yang menjadi kubu militan dari selatan Filipina itu petang ini.

Beliau berkata kesemua mayat itu adalah daripada pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan yang sebelum ini tidak dapat dibawa keluar atas faktor keselamatan.

– Bernama

RTM Tetap Tawar Siaran 10 Minit

Kuala Lumpur: Tawaran siaran manifesto parti selama 10 minit oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) tetap terbuka walaupun menerima pelbagai celaan daripada pembangkang.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata penyiaran itu akan diberikan sekali saja dan bukan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Harap tukar fikiran

Tempoh 10 minit mencukupi untuk mereka menghuraikan manifesto sebanyak lima muka surat kerana kementerian sudah buat percubaan. Walaupun menerima pelbagai celaan daripada pembangkang mengenai usaha ini, saya berharap mereka menukar fikiran dan menerima tawaran diberikan ini, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas meluangkan masa bersama penghibur jalanan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini semalam, Rais berkata, hasil perbincangan kementeriannya bersama Jabatan Penyiaran mendapati 10 minit itu mencukupi.

Diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Majlis Fatwa Kebangsaan meneliti kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkaitan isu agama, Rais berkata, tuduhan Menteri Besar Kelantan itu bahawa solat orang UMNO tidak dapat pahala adalah perkara besar dan mengejutkan.

Majlis Fatwa perlu memberi panduan jelas mengenai isu agama dan menggunakan pegangan Islam.
Ia adalah jalan penyelesaian supaya beliau (Nik Aziz) tidak terus mengeluarkan fatwa sendiri menjelang pilihan raya, katanya.

Rais turut mengumumkan cadangan skim insurans buat penghibur jalanan seperti penyanyi dan pelakon, sekali gus mengiktiraf bakat mereka dan memberi lebih banyak peluang untuk golongan itu mencari nafkah setiap hari. -BH

Tarikh Mengundi Pilihan Raya Umum Ke-13 PRU13

update 10 april 2013
Pengumuman SPR : PRU 13

1) Tarikh penamaan Calon : 20 April 2013 (Sabtu)
2) Tarikh Pengundian Awal : 30 April 2013 (Selasa)
3) Tarikh Pembuangan Undi : 05 Mei 2013 (Ahad)

Tarikh Mengundi Pilihan Raya Umum Ke-13 PRU13 | PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di sini hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, pengumuman itu dibuat selepas ahli-ahli Panel SPR selesai mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan memutuskan perkara berkaitan hari penamaan calon, hari pengundian awal, pengundian biasa dan daftar pemilih yang akan digunakan pada PRU-13.

“Kita perlu memikirkan banyak faktor sebelum memilih tarikh yang sesuai. Kita tidak mahu tarikh itu nanti bertembung dengan hari perayaan agama tertentu kerana Malaysia mempunyai banyak komuniti yang berbeza.

“Kita juga perlu dapatkan ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi, ini semua perlu diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada 116 perwakilan asing mengenai sistem pilihan raya di Malaysia di sini semalam.

Abdul Aziz turut menjelaskan, hari pengundian bagi PRU-13 nanti berkemungkinan diadakan pada hari bekerja walaupun kelazimannya diadakan pada hujung minggu.

Katanya, pengundian boleh diadakan pada mana-mana hari, tetapi SPR perlu menimbangkan banyak faktor sebelum memutuskan tarikhnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, daftar pemilih untuk PRU-13 adalah yang paling bersih dan tiada siapa dapat menghalang pemilih berdaftar untuk menjalankan kewajipan mereka sebagai pengundi.

“Saya sangat berpuas hati dan daftar pemilih kita bersih, tidak ada pengundi bukan warganegara, pendaftaran berganda, pengundi berusia bawah 21 tahun atau yang telah meninggal dunia. Ia dibuat dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara dan polis.

“Bagi yang masih mengatakan daftar pengundi masih kotor, kita minta mereka datang ke pejabat SPR untuk semak dan lihat peruntukan undang-undang yang digunakan bagi menukar atau membuang nama seseorang pemilih,” ujarnya.

selamat berkempen !! selamat mengundi !!