30 Minit Amah Lesap RM25,000

Petaling Jaya: Seorang warga emas kerugian kira-kira RM25,000 selepas barang kemas serta wang tunai sebanyak RM3,000 miliknya dilarikan pembantu rumah yang hanya ditinggalkan selama 30 minit dalam kejadian di Kampung Tunku, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun dikatakan keluar dari rumahnya sebelum kembali setengah jam kemudian apabila mendapati pembantu rumah warga Sri Lanka terbabit sudah tiada.

Menurut sumber, mangsa yang cuba mencari pembantu rumahnya yang berusia 31 tahun itu kemudian terkejut selepas melihat biliknya berselerak sebelum mendapati laci tempat menyimpan barangan kemas seberat kira-kira sembilan kilogram (kg) turut digeledah.

“Selepas memeriksa laci berkenaan, mangsa mendapati semua barangan kemas bernilai lebih RM20,000 miliknya berserta wang tunai sebanyak RM3,000 lesap,” katanya.

– www.hmetro.com.my

Rugi RM50,000 Ditipu Skim Pelaburan Emas

BATU PAHAT – Seorang pembekal bahan binaan kerugian RM50,000 setelah terperdaya dengan skim pelaburan emas yang ditawarkan menerusi laman Internet oleh sebuah syarikat beralamat di Klang, Selangor.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa berusia 38 tahun itu pergi ke pejabat syarikat berkenaan, apabila tertarik dengan tawaran keuntungan 15 peratus yang dijanjikan.

Menurutnya, selepas melihat sendiri pejabat syarikat berkenaan dan diterangkan keuntungan yang bakal diperoleh, mangsa bersetuju untuk melabur menerusi skim pelaburan emas itu dan mendepositkan RM50,000 ke dalam akaun syarikat berkenaan.

“Mangsa yakin untuk melabur dalam skim itu berikutan syarikat terbabit turut menyediakan dokumen perjanjian untuk ditandatangani, selain berjanji akan menghantar dokumen perjanjian berkenaan selepas selesai menguruskannya.

“Bagaimanapun, selepas dua bulan, syarikat terbabit masih gagal menyerahkan dokumen perjanjian itu. Mangsa cuba menghubungi syarikat berkenaan namun tidak berhasil.

“Malah keuntungan yang dijanjikan selepas sebulan melabur tidak diterimanya. Mangsa yang menge­syaki dirinya ditipu akhirnya membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat, semalam.

Din berkata, walaupun mangsa membuat laporan polis pada 31 Januari lalu, pihaknya masih memburu suspek utama kes berkenaan.

“Polis juga berjaya menangkap dan mendakwa pemilik akaun yang menerima wang RM50,000 yang dideposit mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis kini mencari seorang wanita, Rimaliza Mustafa, 28, yang beralamat terakhir di Kuantan, Pahang, untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mengenali Rimaliza supaya dapat menghubungi pihak polis,” katanya.

Kedai Emas Rugi RM20,000 Akibat Disamun

SENAWANG – Dua perompak lelaki hanya mengambil masa kira-kira tiga minit bagi melarikan barang kemas bernilai RM20,000 dalam satu kejadian rompakan di sebuah premis di Taman Seremban Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, dua lelaki berkenaan menaiki sebuah motosikal dan meletakkannya di hadapan premis sebelum melulu masuk ke kedai.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketika kejadian berlaku, pemilik kedai dan seorang anaknya berada di dalam premis.

“Kedua-dua suspek yang memakai topi keledar itu telah bertindak memecahkan cermin pameran barangan kemas dengan senjata tukul besi.

“Selepas mengaut beberapa barang kemas, kedua-dua suspek terus keluar dan melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di hadapan premis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya, premis yang dijalankan sebuah keluarga itu tidak mempunyai pengawal keselamatan dan tidak memasang kamera litar tertutup.

“Ketika kejadian, tiada pekerja dan pelanggan berada di dalam premis dan kedua-dua mangsa tidak dicederakan suspek.

“Siasatan sedang dijalankan dan kita akan mengesan suspek yang terlibat,” katanya.

Saiful Azly berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 397 dan 395 Kanun Keseksaan. – SinarHarian

Samun : 4 Kelindan Lori Dijel 8 Tahun

PETALING JAYA – Empat kelindan lori, termasuk dua beradik, dipenjara lapan tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen menyamun seorang peniaga.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhi hukuman itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap M.Ramaesh, 23, Muhammad Ridzuan Shanmugam, 24, S.Premkumar, 23, dan adiknya S.Muniandy, 21, di akhir kes pembelaan.

Suraiya memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu 20 Ogos tahun lepas.

Mereka didakwa menyamun sebuah beg sandang milik Hue Chong Fong, 32, yang mengandungi ketulan emas, dua utas jam tangan berjenama, satu tangkal sembahyang dan wang tunai RM70, yang kesemuanya bernilai RM15,000 di Jalan Subang, Sungai Buloh pada 3 pagi, 20 Ogos tahun lepas.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Seramai enam saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

Pembeli Emas Kena Tipu

BATU GAJAH – Kerana mempercayai seorang wanita yang mahu menjual surat gadai emas, seorang pembeli emas terpaksa berputih mata apabila kehilangan wang tunai RM10,400 di Tronoh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shahanon Anuar Abd Latif memaklumkan, wang berkenaan telah dilarikan wanita terbabit dalam kejadian pada jam 1.30 petang.

Menurutnya, pengadu yang berusia 27 tahun didatangi wanita terbabit di premis perniagaannya dan telah bersetuju membeli emas berkenaan, lalu membawa wanita itu ke sebuah kedai pajak gadai.

“Pengadu telah menyerahkan wang berkenaan kepada suspek untuk tebus emas gadaian di kedai pajak berkenaan.

“Tindakan itu mengundang padah apabila suspek melarikan wang berkenaan dengan menaiki motosikal ditunggang seorang lelaki yang telah menunggu di lorong kedai pajak,” katanya.

Shahanon Anuar berkata, pengadu cuba mengejar suspek ketika itu, namun gagal keranan keretanya terlanggar sebuah van.

Menurutnya, susulan kegagalan itu, pengadu telah membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Dalam kejadian itu, pengadu telah diberikan surat pajak gadai dan kad pengenalan beralamat Kampung Parit Betak, Benut, Johor.

“Suspek merupakan seorang wanita berusia 30 tahun, berbadan kurus dan berkulit hitam manis,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati kad pengenalan yang ada pada pengadu bukan milik suspek, manakala hasil semakan mendapati ia tiada dalam rekod jenayah.

“Kita juga berusaha mengesan suspek lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamah LC135 berwarna hitam, bertopi keledar dan jaket hitam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dan peniaga yang membeli surat gadaian diminta berhati-hati jika didatangi individu sebagaimana dalam kes ini,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini untuk menghubungi polisdi talian 05-3629222 bagi menyalurkan maklumat. -SinarHarian

Polis Tahan Empat Lelaki Berhubung Kes Samun Kedai Emas Di Selayang

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) — Polis menahan empat lelaki hari ini bagi membantu siasatan kes samun kedai emas di hadapan Balai Polis Selayang Baru pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata suspek, yang berusia antara 16 dan 27 tahun, ditahan ketika polis menyerbu sebuah rumah di Lot 27, Jalan 18 Kampung Melayu, Batu Caves pada kira-kira 6.50 petang.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dua motosikal iaitu Honda EX5 dan Kawasaki RR serta empat resit pajak gadai dan dua helai ”vest”,” katanya kepada Bernama malam ini.

Semalam, dua lelaki bersenjatakan parang dan tukul melarikan tiga dulang emas bernilai kira-kira RM200,000 ketika menyamun sebuah kedai emas di depan Balai Polis Selayang Baru.- BERNAMA

Tiga Dulang Rantai Emas RM200,000 Dilarikan

KUALA LUMPUR — Dua lelaki bersenjatakan parang dan tukul melarikan tiga dulang mengandungi rantai emas bernilai kira-kira RM200,000 dalam kejadian menyamun sebuah kedai emas yang terletak di hadapan Balai Polis Selayang Baru dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian samun pukul 10.15 pagi itu, dua suspek menerpa masuk ke dalam kedai emas berkenaan dengan bersenjatakan parang dan tukul di mana tukul itu digunakan untuk memecahkan cermin ruang pameran.

Pemilik kedai yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Su berkata, ketika kejadian tiada pelanggan di dalam premis dan suaminya keluar untuk minum.

“Ketika kejadian dua penyamun itu masuk dan terus memecahkan cermin ruang pameran mengunakan tukul lalu mengambil tiga dulang mengandungi rantai emas dan terus melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Honda Ex5 yang diletakkan di lorong belakang kedai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kedua-dua suspek memakai helmet dan vest berwarna hijau dan oren.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Pemeriksaan kita di tempat kejadian telah menemui tukul yang digunakan untuk memecahkan cermin ruang pameran. Premis itu tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi kami boleh memperoleh rakaman CCTV dari kedai berdekatan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, individu yang berada di premis berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, ia merupakan kali pertama premis berkenaan disamun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. — BERNAMA

Sistem Penggera Gagal Cubaan Samun Kedai Emas


Kuala Lumpur: Satu cubaan samun kedai emas di Jalan Sentul, di sini, gagal akibat sistem penggera keselamatan di premis itu berbunyi selepas mengesan pencerobohan, kelmarin.

Suspek dipercayai lebih dua orang, dipercayai memanjat balkoni di belakang premis kedai tiga tingkat itu sebelum cuba masuk ke dalam kedai dengan menebuk siling kedai emas terbabit yang terletak di tingkat bawah.
Kejadian dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi disedari pemilik kedai emas yang bercuti Tahun Baru Cina selepas menerima notis dihantar ke telefon bimbitnya daripada sistem penggera di kedainya mengenai pencerobohan itu sebelum menghubungi polis.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria, berkata sistem penggera keselamatan di kedai emas terbabit berbunyi selepas suspek cuba membuka pintu dalam kedai itu.

Tebuk siling

Selepas menebuk lubang di siling, suspek masuk ke dalam belakang kedai emas dan ketika memecah masuk pintu ke bahagian ruang pameran barang kemas di bahagian depan kedai, sistem penggera berbunyi.

Kami percaya suspek panik apabila penggera itu berbunyi dan melarikan diri. Siasatan menemui pelbagai peralatan untuk memecah masuk kedai yang ditinggalkan suspek, katanya di sini, semalam.

RM100,000 Barang Kemas & RM14,000 Wang Tunai Lesap

DUNGUN – Niat pasangan suami isteri untuk menghadiahkan hasil jualan tanah kepada anak-anak mereka hancur apabila wang tunai RM14,000 yang dilsimpan di bawah tilam di rumah mereka dekat sini dikebas dalam kejadian pecah rumah, pagi kelmarin.

Turut dicuri ialah barang-barang kemas, termasuk gelang dan cincin emas yang semuanya bernilai kira-kira RM100,000.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika Semek Abdul Rahman, 65, dan suaminya, Ismail Mohd, 70, yang menjaja sayur menggunakan van bergerak, keluar membeli barang di pasar Dungun.

Semek berkata, kes pecah rumah itu disedari seorang cucunya, Amin Mohd Khir, 17, yang tidur selepas pulang dari tempat kerja. Amin menghubungi bapanya setelah melihat barang-barang dalam rumah mereka berada dalam keadaan berselerak sebaik terjaga daripada tidur.

Menurut Semek, sebelum itu, dia meninggalkan rumah bersama suaminya selepas solat Subuh kira-kira jam 6.15 pagi dan ketika itu difahamkan barang kemas miliknya masih tersimpan rapi dalam laci. Wang tunai RM14,000 disimpan di bawah tilam, tempat tidur suaminya.

Selepas mendapat berita mengejutkan itu, Semek terus pulang ke rumah dan melakukan pemeriksaan.

“Wang tunai RM14,000 hasil jualan tanah pusaka suami dan barang kemas milik saya yang disimpan dalam laci lesap. Terdapat kesan umpil pada tingkap belakang,” katanya.

Tambahnya, barang kemas termasuk beberapa gelang tangan dan cincin bernilai kira-kira RM100,000 disimpannya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Kami bercadang untuk membahagikan wang itu kepada anak-anak yang bakal pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina nanti, jadi kami tidak masukkan ke dalam akaun bank.

“Tak sangka pula ia akan diambil pencuri,” kata Semek.

Semek membuat laporan di Balai Polis Paka dan polis sedang menyiasat kes tersebut. -SinarHarian

Empat Penjenayah Larikan 11 Dulang Barang Kemas Di Seremban

SEREMBAN: Empat lelaki bersenjatakan beberapa pucuk pistol bertindak nekad merompak sebuah kedai emas dan melarikan 11 dulang barangan kemas dalam satu kejadian di Taman Senawang Jaya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, penjenayah berkenaan terlebih dahulu melepaskan beberapa das tembakan ke udara di hadapan premis terbabit menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri.
“Penjenayah yang memakai topeng muka kemudiannya memecahkan cermin pameran barangan kemas dan mengambil 11 dulang barangan kemas sebelum melarikan diri dengan motosikal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian pemilik premis berada di kedainya bersama dua lagi pekerja dan mereka tidak diapa-apakan.

Jumlah kerugian masih belum dapat ditaksirkan, katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Alang, 55, berkata ketika kejadian, dia berada di sebuah kedai berhampiran sebelum melihat empat lelaki bertopeng menaiki dua buah motosikal berhenti di depan kedai emas berkenaan.

Katanya, dua lelaki yang membawa kapak dan tukul besi meluru masuk ke kedai emas manakala dua lagi lelaki berkawal di tengah jalan di hadapan premis sambil seorang daripada mereka memegang dua pucuk pistol.
“Kerana curiga saya menghampiri kedai berkenaan dan terkejut selepas lelaki yang memegang dua pucuk pistol itu secara tiba-tiba melepaskan tiga das tembakan ke udara sambil menjerit ‘lari…lari’.

“Lelaki itu turut menghala pistolnya ke arah orang ramai dan kenderaan yang lalu-lalang menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, penjenayah terbabit berada di situ selama kira-kira tiga minit sebelum beredar dengan dua beg berisi barangan kemas. – BERNAMA