Sumber : Berita Harian

susulan pertanyaan mengenai serbuan ke atas syarikat terbabit
Bank Negara Malaysia (BNM) semalam membuat penjelasan berhubung serbuan pihak berkuasa terhadap beberapa syarikat disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas.
Penjelasan itu dibuat berikutan banyak pertanyaan diterima mengenai tindakan yang diambil terhadap syarikat terbabit.
Skim kewangan haram
Susulan serbuan pihak berkuasa ke atas syarikat menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas, baru-baru ini, banyak pertanyaan dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia.
Berikut adalah soalan lazim diterima dan jawapan agensi terbabit.
S: Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat itu?
J: Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan pelabur daripada melaburkan lebih banyak wang dalam skim berisiko selain melindungi kepentingan orang ramai.
Syarikat terbabit sedang disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.
S: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat terbabit?
J: Kebimbangan timbul berikutan syarikat terbabit dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama. Mereka menjanjikan pelabur pulangan bulanan lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim itu bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang baru dilaburkan dalam skim berkenaan.
Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat itu biasanya tidak sepadan dengan jumlah dikumpulkan daripada pelabur.
S: Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang?
J: Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya diambil selepas ada sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu kesalahan sudah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan sah.
S: Apakah status tindakan diambil pihak berkuasa?
J: Siasatan masih berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada kenyaataan rasmi dikeluarkan agensi penguat kuasa undang-undang saja untuk sebarang maklumat terkini.
S: Berapa lamakah tempoh siasatan?
J: Tempoh siasatan bergantung pada tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti meningkat disebabkan dimensi antarabangsa kes itu.
Siasatan ini diberi keutamaan yang tinggi dan semua sumber perlu digembleng oleh agensi penguat kuasa untuk mempercepat siasatan.
S: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?
J: Bagi skim kewangan haram disyaki, pihak berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur.
Agensi penguatkuasaan diberikan kuasa mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), untuk membekukan aset apabila disyaki bahawa suatu kesalahan pengubahan wang haram dilakukan.
S: Apakah akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?
J: Aset yang dirampas akan didokumenkan dengan teliti dan diambilkira serta disimpan di tempat selamat. Sekiranya ada prosiding jenayah, aset itu hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.
S: Bolehkah pelabur menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?
J: Aset yang dirampas ketika siasatan hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah. Pelabur boleh memfailkan kepada mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Maklumat mengenai sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.
S: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur?
J: Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah selain memberikan jaminan bahawa jumlah pokok dilaburkan akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihatkan merujuk kepada agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.
Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:

MELBOURNE – Pelombong emas di Australia telah bertindak balas kepada harga yang semakin merosot dengan mengeluarkan lebih banyak logam itu untuk suku kedua berturut-turut.
Pengeluaran emas naik empat peratus kepada 69.5 tan metrik pada tiga bulan hingga hujung September.
Ini adalah satu kenaikan 12 peratus daripada 62 tan metrik pada suku September 2012.
Pengeluar emas menyasarkan gred yang lebih tinggi semenjak harga emas merosot awal tahun ini untuk melindungi margin mereka, kata Dr Sandra Close, pengarah syarikat perunding Surbiton Associates, menurut Australian Associated Press.
Sepanjang tempoh satu dekad peningkatan harga emas antara 2001 dan 2011, pengeluar emas telah mengurangkan gred bijih mengakibatkan kenaikan kos tunai, kata beliau.
Harga emas merosot daripada US$1,580 satu auns kepada US$1,190 pada suku Jun, dan telah kekal pada jajaran sempit semenjak itu.
Pelombong emas terbesar Newcrest Mining terjejas terus dengan kerugian berbilion dolar yang mengakibatkan harga sahamnya merosot 65 peratus tahun ini. – Bernama

SELEPAS meningkat tinggi beberapa tahun lalu, harga emas dijangka akan merosot ke paras paling rendah tahun ini ekoran tanda-tanda bahawa Lembaga Simpanan Federal Amerika Syarikat (Fed) akan mula mengurangkan langkah merangsang pertumbuhan ekonomi negara itu.
Sembilan pengamat yang ditinjau agensi Bloomberg meramalkan harga akan merosot lagi mulai minggu depan, sementara hanya tiga sahaja yang yakin harga tidak akan banyak berubah.
Malah, ada pengamat yang menyarankan agar pelabur lebih berwaspada sebelum melabur dalam emas.
Harga emas telah merosot ke paras paling rendah dalam empat bulan, manakala dolar Amerika terus bertambah kukuh.
Ini menyusuli kenyataan Fed bahawa para pembuat dasar Amerika menjangkakan keadaan pasaran buruh di negara itu bertambah baik dan pembelian bon untuk merangsang ekonomi boleh mula dikurangkan.
Harga emas itu mula merosot pertama kali selepas 13 tahun lalu, apabila pelabur mula “hilang keyakinan” terhadap potensi harganya untuk meningkat.
Fed dijangka mengurangkan AS$85 bilion ($105 bilion) pembelian bonnya dan ini akan mengurangkan tekanan terhadap inflasi.
Kadar pengangguran di Amerika juga mula merosot ke paras dua bulan paling rendah dengan penjualan runcit juga meningkat pada Oktober lalu.
Standard Bank Group Ltd dan OCBC Bank menasihatkan para pelabur agar menjual emas mereka pada harganya yang tinggi sekarang di tengah-tengah kelemahan permintaan bagi logam itu di Asia.
“Selepas menjulang beberapa tahun lalu, nampaknya 2013 menjadi tahun apabila harga emas akhirnya jatuh ke paras yang rendah.
“Sepanjang tahun penjulangan itu, emas dianggap sebagai aset pelaburan paling selamat ekoran ketidaktentuan ekonomi dan digunakan bagi melindungi inflasi serta menikmati langkah Amerika merangsang ekonomi,” kata pengamat OCBC Bank, Encik Barnabas Gan.
Menurut beliau, dengan tanda-tanda ekonomi bertambah baik bagi Amerika dan zon Eropah, dan juga kebimbangan tentang penarikan rangsangan Amerika, tidak menghairankan melihat harga emas kehilangan sebahagian keuntungan yang diraih sepanjang beberapa tahun lalu untuk ke paras $1,250 sekarang.
“Sejajar dengan ramalan, ketiadaan langkah penarikan itu tahun ini mungkin melihat harga emas mencecah $1,320 setiap auns pada akhir tahun ini.
“Jika langkah itu dilaksanakan pada awal tahun depan, kami meramalkan harga emas akan merosot ke paras $1,000 setiap auns pada 2014,” tambah beliau.
GEORGE TOWN, (Bernama) — Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun berangkat menyertai pertandingan golf tahunan Public Gold di Penang Golf Club, Bukit Jambul dekat sini, Ahad.
Ketibaan Seri Paduka pada 1.45 petang disambut pengerusi Public Gold Group, Datuk Louis Ng Chun Hau.
Baginda kemudian berkenan menghadiri sesi bergambar bersama peserta pertandingan sebelum memulakan ‘tee off’ pukul 2 petang.
Tee off: Raja Permaisuri Agong sambil diperhatikan Pengerusi Public Gold, Datuk Louis Ng (berdiri kiri)
Pertandingan anjuran Public Gold Group, syarikat yang menawarkan kepelbagaian dagangan emas itu, diadakan buat kali kedua dan disertai 110 pemain terdiri daripada pengedar Public Gold dan ahli Penang Golf Club.
Pertandingan itu bertujuan merapatkan hubungan antara pengedar dengan pihak pengurusan Public Gold selain menggalakkan gaya hidup sihat.
Seri Paduka dijadual berangkat ke majlis penyampaian hadiah pertandingan itu pada sebelah malam.
Public Gold kini mempunyai 18 cawangan di seluruh negara dan satu cawangan di Singapura, selain turut meneroka pasaran Vietnam dan Timur Tengah dalam usaha membawa jenama itu ke tahap lebih tinggi dan mendapat pendedahan global dan pengiktirafan.
Sumber: BERNAMA

Kuala Terengganu: Pos Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd menyasarkan peningkatan jumlah pengeluaran pinjaman bagi perkhidmatan pajak gadai Ar-Rahnu@POS kepada RM500 juta menjelang tempoh dua tahun akan datang.
Ketua Pegawai Operasinya Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, ia bakal didorong menerusi penambahan lapan cawangan Ar-Rahnu@POS dalam tempoh sehingga tahun kewangan berakhir Mac 2014.
“Dengan prestasi positif yang dicatatkan bagi tempoh operasi perkhidmatan yang belum mencapai tempoh setahun, kami optimis sasaran akan dapat dicapai,” katanya pada program Media Hunt Pos Malaysia-NPC 2013 yang berakhir Ahad lalu.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji pasaran bagi menentukan lokasi bersesuaian pembukaan kesemua cawangan terbabit.
Menurutnya, jumlah transaksi pasaran keseluruhan bagi segmen Ar-Rahnu di negara ini adalah kira-kira RM3 juta setahun.
Katanya, ia adalah bidang berpotensi yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan perolehan kumpulan kerana setakat operasinya yang bermula pada Julai tahun lalu itu membawa prestasi positif kepada kewangan berakhir Mac tahun ini.
Mohd Shukrie berkata, pihaknya juga menyasarkan pegangan pasaran yang seimbang untuk kumpulan supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
“Kami kini dalam usaha memperluas operasi perkhidmatan yang pelbagai. Pos Malaysia bukan saja mempunyai objektif ke arah digital dan pada masa sama tidak mahu mengenepikan transaksi yang dapat memanfaatkan orang ramai,” katanya.
Ar-Rahnu@POS adalah perkhidmatan kerjasama strategik antara Pos Malaysia dan Bank Muamalat yang menerima barang kemas dengan nilai emas tidak kurang daripada 75 peratus bersama kadar upah simpan daripada 60 hingga 80 sen setiap bulan untuk setiap RM100 nilai emas, bergantung kepada nilai pasaran.


Xiang Xiong (kiri) bersama Mohd Amar (tiga, kiri) melepaskan belon sebagai simbolik perasmian kilang baharu CNMC.
TANAH MERAH – CNMC Goldmine Holding Limited (CNMC) yakin mampu mengeluarkan sehingga 1,000 kilogram (kg) emas setahun dengan pembukaan kilang keduanya di tapak perlombongan emas di Hutan Simpan Sokor, dekat sini.
Pengerusi Eksekutif CNMC, Prof Lin Xiang Xiong berkata, keyakinan itu berdasarkan kemampuan kilang baharu bernilai lebih RM10 juta itu mengeluarkan antara 50kg dan 100kg emas sebulan.
Katanya, dalam tempoh dua bulan setengah beroperasi bermula September lalu, kilang automatik menggunakan kaedah perlombongan ‘heap leach’ itu mengeluarkan lebih 250kg emas.
“Dalam tempoh dua minggu lepas sahaja, kilang ini mengeluarkan 66kg emas, jadi untuk tahun depan dan seterusnya, kami meramalkan pengeluaran antara 800kg hingga 1,000kg emas setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan kilang kedua CNMC di tapak perlombongan emas di Hutan Simpan Sokor, dekat sini, kelmarin.
Perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Kelantan, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi.
CNMC adalah syarikat induk CMNM Mining Group Sdn Bhd (CMNM) yang mengusahakan tapak perlombongan emas di Hutan Simpan Sokor dengan usaha sama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Menerusi usaha sama itu, kerajaan negeri dan PKINK masing-masing menerima royalti lima dan tiga peratus bagi setiap pengeluaran emas di lombong berkenaan.
Lombong emas itu pernah mencatat sejarah negeri ini apabila menghasilkan jongkong emas pertama seberat 2.975kg bernilai RM400,000 pada 22 Julai tahun lalu.
Xiang Xiong berkata, sejak mula beroperasi di lombong itu pada 2007, syarikatnya melabur lebih RM100 juta dan bercadang meningkatkan lagi jumlah pelaburan pada masa depan.
“Polisi pelaburan kami bukan sahaja untuk perkembangan ekonomi tetapi juga berkongsi tanggungjawab sosial dengan masyarakat dan kami tidak pernah berhenti menjaga kebajikan rakyat setempat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Amar berkata, kesungguhan CNMC melabur lebih RM10 juta untuk kilang baharu itu menunjukkan keyakinan syarikat terbabit dengan potensi dan masa depan lombong emas berkenaan.
Menurutnya, pembinaan kilang baharu dengan keupayaan pengeluaran lebih tinggi itu juga diharap membolehkan CNMC membantu negeri ini menempa nama dalam peta perlombongan emas di negara ini.
“Setakat ini, kita (Kelantan) belum ada nama dalam peta pengeluaran emas kerana yang ada cuma Terengganu dan Pahang, jadi kita harap usaha CNMC ini akan jadi permulaan.
“Kita juga harap syarikat perlombongan emas lain seperti di Gua Musang dan satu lagi kawasan di Sokor juga dapat tingkatkan pengeluaran dan boleh beri hasil lebih besar kepada kerajaan negeri,” katanya.

PERKHIDMATAN pajak gadai berkonsep Islam disediakan Ar Rahnu Express boleh mengelakkan masalah kegagalan menebus semula barangan berharga yang dicagarkan pengguna semasa keadaan mendesak.
Pengurus Besar Ar Rahnu Express Abdul Azri Abdul Latif berkata, Ar Rahnu prihatin terhadap permasalahan itu kerana sistem tradisional pajak gadai sebelum ini membebankan peminjamnya kerana mengenakan faedah yang tinggi.
Ar Rahnu Express adalah perkhidmatan pajak gadai berdasarkan undang-undang syariah yang diwujudkan Kumpulan Habib Jewels pada 2010 selepas menyedari masalah pengguna terutama yang berpendapatan rendah dalam sistem pajak gadai konvensional.

Abdul Azri berkata, Ar Rahnu Express menerima pajakan emas, berlian, jam tangan berjenama, batu permata, jongkong emas dan dinar emas untuk pelanggan mendapatkan pinjaman tunai segera dengan proses mudah dan cepat.
“Perkhidmatan pajak gadai yang kami tawarkan adalah pinjaman tanpa faedah tetapi hanya mengenakan upah simpan yang rendah iaitu satu peratus sebulan.
“Kami akan berikan pinjaman sehingga 75 peratus daripada nilai aset yang dipajak gadai,” katanya.
Selesai masalah ah long, ceti haram Azri berkata, Ar Rahnu Express tidak mengenakan kadar faedah tinggi atau sebarang amalan kewangan melibatkan riba.
Menurutnya, syarikat itu mahu menjadi alternatif terbaik kepada umat Islam khususnya yang berpendapatan rendah untuk membiayai pendidikan, atau sedang mengalami kesulitan kewangan dan memerlukan modal untuk menjalankan perniagaan.
Tambahnya, perkhidmatan itu mampu membantu rakyat di negara ini daripada terjebak dengan ceti haram, ah long dan peminjam wang tanpa lesen atau sebagainya. Beliau berkata, skim Ar Rahnu Express memberikan pembiayaan bercagar sehingga RM200,000 dengan syarikat itu kini mempunyai anggaran 3,000 peminjam sebulan dengan jumlah pinjaman RM15 juta hingga RM18 juta sebulan.
Selain memberikan pinjaman, Ar Rahnu Express menyediakan tempat untuk menyimpan barangan kemas atau peti simpanan seperti yang disediakan di bank selain membuat penilaian zakat dan menyediakan perkhidmatan mencuci barang kemas secara percuma.
Sementara itu, Pengurus Operasi Runcit Ar Rahnu Express Peer Mohd berkata, syarikat itu akan membuka tiga lagi cawangan Ar Rahnu Express iaitu di Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor pada tahun depan.
“Sebanyak RM350,000 akan digunakan untuk membiayai setiap pembukaan cawangan Ar Rahnu
Express yang baru,” katanya.


Emas meneruskan kenaikan dalam sesi kedua pada Khamis selepas Naib Pengerusi Rizab Persekutan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen, yang mungkin menjadi pengerusi seterusnya bagi Rizab Persekutuan menunjukkan petanda bahawa bank pusat akan terus menyokong ekonomi menerusi program rangsangan.
Harga jatuh tinggi dalam empat sesi sehingga Selasa selepas pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan kukuh AS menaikkan kebimbangan bahawa Persekutuan akan mula mengehadkan rangsangan mulai Disember.
“Namun, dalam komen yang disediakan kepada Jawatankuasa Perbankan Senat pada Khamis, Yellen, calon Presiden Obama untuk mengepalai Persekutuan berkata, ekonomi dan pasaran buruh mencatatkan prestasi lebih rendah berbanding prestasi sebenar.
“Bersandarkan kepada apa yang dikatakan Yellen, ia tidak zahir bahawa tindakan mengehadkan rangsangan akan berlaku sehingga ekonomi stabil.
“Dolar sudah turun sedikit dan ia juga menyokong harga,” kata Pengarah Urusan Pedagang Goldsilver Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, Brian Lan.
Spot emas naik 0.2 peratus kepada AS$1,281.49 seauns menjelang 0752 GMT, selepas menyaksikan penurunan berterusan empat hari pada Rabu dengan kenaikan hampir satu peratus.
Emas AS naik sebanyak 1.6 peratus, menjejaki spot emas. Kontrak hadapan perak naik dua peratus. Indeks dolar berada pada paras rendah dalam seminggu.
Pembelian bon bulanan Persekutuan sebanyak AS$85 bilion menjadi penyokong penting harga emas beberapa tahun kebelakangani kerana ia merangsang tarikan logam itu sebagai aset lindung nilai.
Kebimbangan ekonomi semakin baik mungkin mencetuskan Persekutuan mengehadkan langkah rangsangan tidak lama lagi sudah menyebabkan harga emas turun hampir 25 peratus tahun ini.
Permintaan fizikal sudah meningkat ketika emas didagangkan di bawah AS$1,300 seauns tetapi tidak kukuh untuk memberikan harga status peringkat atas.
Pengaliran keluar SPDR Gold Trust, dana pelaburan emas terbesar dunia, bersambung semula selepas dihentikan selama dua minggu lalu.
Pegangan dana itu jatuh 2.71 tan kepada paras rendah baru sebanyak 865.71 tan pada Rabu. Ia kekal tidak berubah sepanjang November kerana ketidaktentuan berkaitan rangsangan kewangan. – REUTERS