Sempat curi dua Rantai Emas

1222apen1.transformed

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Kedai emas di persimpangan Jalan Ali Pitchay-Jalan Yang Kalsom disamun sekumpulan empat lelaki, 2.15 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 2.30 petang dan siasatan awal mendapati kejadian dilakukan empat lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh.

“Suspek dipercayai empat lelaki yang menaiki dua motosikal, namun hanya dua daripada suspek menyerbu masuk ke dalam kedai emas terbabit.

“Kedua-dua suspek berkenaan kemudian bertindak memecahkan cermin pameran barang kemas menggunakan tukul besi, namun hanya sempat melarikan dua utas rantai emas sahaja kerana ketakutan selepas penggera keselamatan premis terbabit berbunyi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, rantai tersebut bernilai kesluruhan kira-kira RM4,000.

Menurutnya, ketika kejadian, tiada pelanggan dalam kedai emas itu dan hanya terdapat seorang pemilik premis serta tiga pekerja, namun mereka tidak dicederakan. -www.hmetro.com.my

Membeli Sebatang Pen dan Dapat Hadiah Emas

pen-cincin

Soalan

Ada yang mencadangkan aqad untuk menutupi masalah riba jual beli emas secara ETA. Apa pandagan ustaz?

Contohnya: “Saya jual Pen sebatang dengan harga RM12600. Tuan bayar hari ini RM12600 saya akan beri sebatang Pen dan selepas 7 hari bekerja saya akan beri hadiah kepada tuan 100g EMAS”.

Jawapan

Ia adalah helah yang jelas ke atas jual beli emas bertangguh. Jumlah RM 12600 adalah nilai 100g emas, bukannya harga sebenar pen. Jual beli emas bertangguh serahan atau bayaran adalah riba. Helah untuk melakukan perkara yang haram adalah haram.

Ada satu cerita dari sheikh Soleh al-Lheidan, dari Riyadh, seorang Arab badwi, sesat di padang pasir, dia bernazar, kalau dia boleh balik ke kampung halamannya, dia akan menjual untanya dengan harga 1 dirham (lebih kurang rm50). Kemudian dia selamat. Masa nak bayar nazar, dia ikat kucing mati di kaki untanya, lalu dia lelong untanya: “Unta untuk dijual, harganya hanya 1 dirham, tetapi ia mesti dibeli bersamanya kucing mati dengan harga 10 dinar (RM5k).”

Ia adalah helah dan penipuan. Nak tipu siapa? Nak tipu Tuhan?

Hindarilah transaksi tersebut.

sumber – drazman.net (Dr. Azman Mohd Noor)

Apakah Maksud Tersontot?

tersontot2

Apakah maksud tersontot?

Tersontot ialah situasi apabila perjanjian antara penjual dan pembeli telah gagal.
Kegagalan urusniaga ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
1. Program atas program oleh pengelola.
2. Program Singaporey dan ala singaporey.
3. Kegagalan sistem pengelola.
4. Faktor yg dirahsiakan.

Kegagalan ini boleh menyebabkan kedua-dua pihak kehilangan duit atau barang urusniaga.
Maksudnya rugi.

Berikut adalah kemungkinan jalan penyelesaian.
1. Pengelola akan berikan kembali jumlah wang yang diurusniaga tanpa duit imbuhan dalam tempoh yang ditetapkan.
2. Jalan lain boleh tanya pengelola.

Oleh itu, proses tindakbalas ini dikenali dengan tersontot.
Yang menyontot dan yang tersontot.

sumber – soal jawab goldemas.com

Syiling Emas sempena pemerintahan Sultan Ahmad Shah

syilingemas..ROZAINI ROSDIN (kiri) dan Datuk Leen Mustafa menunjukkan syiling emas edisi terhad di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/ABD. RAZAK AID

SEREMBAN 21 Dis. – Sebanyak 3,999 keping syiling emas edisi terhad ditawarkan untuk jualan sempena sambutan 40 tahun pemerintahan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Pengeluaran syiling emas itu adalah kerjasama antara kerajaan negeri Pahang dan syarikat penyedia perkhidmatan jual beli emas milik bumiputera, Triplenine Goldworld Gallery Sdn. Bhd (Triplenine).

Ketua Pegawai Eksekutif Triplenine, Datuk Rozaini Rosdin berkata, syiling emas itu akan diedarkan secara eksklusif sebagai koleksi kenang-kenangan pada harga RM6,999 setiap keping.

Beliau berkata, setakat ini, sambutan yang diterima untuk koleksi tersebut amat menggalakkan.

“Ia dijangka menarik orang ramai terutamanya dalam kalangan pengumpul koleksi keluaran khas,” katanya kepada Utusan Malaysia di Nilai, dekat sini semalam.

Majlis Pelancaran Syiling Peringatan dan Setem Kenangan Sempena Memuliakan Sambutan 40 Tahun Pemerintahan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah akan berlangsung di Kuala Lumpur malam esok.

Rozaini berkata, syiling itu mengandungi emas tulen 999.9 dengan berat 31.33 gram setiap keping.

Tambahnya, ukur lilit syiling adalah 32 milimeter (mm) manakala tebalnya tiga mm.

Jelasnya, pengesahan ketulenan syiling itu dibuat oleh assayer dari KL Assay Office (M) Sdn. Bhd, Abdul Shukor Anuar.

“Kami berharap orang ramai akan mengambil peluang daripada majlis sambutan 40 tahun pemerintahan Sultan Ahmad Shah untuk mendapatkan syiling emas ini yang mempunyai edaran terhad iaitu 3,999 keping sahaja,” ujarnya.

goldsultan

Maklumat lanjut mengenai koleksi syiling emas itu boleh diperoleh daripada Datuk Leen Mustafa di talian 012-9996006, 017-9996006 dan e-mel: leentriplenine@gmail.com.

sumber – www.utusan.com.my

Celik Emas Harta Emas (CEHE)

ajl-irsofian

Seminar Celik Emas dan Harta Emas (CEHE) adalah seminar yang untuk membuka minda orang ramai betapa pentingnya simpanan emas. Perbezaan membuat penyimpanan wang fiad, wang kertas berbanding dengan emas ?.Berapakah kadar keuntungan jika dibandingkan emas dan lain-lain instrument pelaburan dan simpanan yang lain.

Peserta juga di ajar tentang salah faham terhadap pelaburan emas. Apakah rahsia penipu-penipu yang sering memutarbelitkan fakta yang membolehkan mereka memperdayakan orang ramai dengan pelaburan emas. Ianya akan di ajar di sini.

Lagi menarik adalah setiap kali program CEHE, Ir. Sofian akan membentangkan analisa terkini dan update terkini tentang prestasi pergerakan arah tuju harga emas semasa mengikut trend semasa selain daripada isu panas semasa berkaitan emas.

Segalanya adalah secara ringkas tetapi padat dalam masa 3 jam kupasan yang berkualiti dari Ir. Sofian.

Untuk Info lebih lanjut boleh layari laman web Tuan Ir Sofian .

Siapa Yang Perlu Hadir?

  • Mereka yang mahu terlibat dalam simpanan emas perak secara santai.
  • Individu yang mahu terlibat aktif dengan pelaburan emas perak dengan cara yang betul selamat dan mengguntungkan.
  • Pesara dan bakal pesara yang ingin membuat perkiraan bagaimana membahagikan duit pencen mereka.
  • Pemilik perniagaan yang mahu belajar teknik menggunakan emas di dalam perniagaan.
  • Pelajar kolej dan universiti yang mahu memulakan ilmu awal mengenai emas dan perak.
  • Pekerja kerajaan dan swasta yang menpunyai gaji tetap setiap bulan dan mahu mengetahui teknik penyimpanan emas secara efisien.
  • Badan koperasi dan organisasi yang ingin terlibat dengan teknik ‘maniplasi’ emas perak.
  • Peniaga emas & perak daripada pelbagai syarikat dan latar belakang yang ingin mengetahui ilmu & taktik jual beli emas.
  • Mereka yang ingin mengetahui rahsia ‘muslihat’ Ar Rahnu untuk lebih mengembangkan asset anda.
  • Para ibu dan wanita yang suka shopping emas dan dengan ilmu ini dapat member lebih value for money yang mereka belanjakan.

 

Maut tertimbus ketika melombong Emas

2fcebea0f1ffde181ddef8676ff24e0e

Seorang remaja maut akibat tertimbus tanah runtuh semasa melombong emas di lombong haram di Ulu Luit, Sri Jaya dekat Maran semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, ASP Abdul Razak Abdul Majid berkata dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, Mohd Shahril A. Wahab@Amin, 17, dari Felda Sri Desa, Felda Kampung New Zealand mati di tempat kejadian.

“Mangsa dikatakan melombong secara haram bersama beberapa penduduk apabila tanah di kawasan itu tiba-tiba runtuh menyebabkan mangsa tertimbus.

“Pelombong lain yang mencarinya kemudiannya menemui mangsa yang sudah tidak lagi bernyawa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Maran sebelum dihantar ke Hospital Jengka pada pukul 8 malam.

– Bernama

Tentang sistem Emas ETA yang mesti anda tahu

Picture2

KOMEN TENTANG SISTEM EMAS ETA

oleh : Tn Azizi Ali

1. Sebelum saya komen tentang emas ETA ini, saya perlu terangkan 4 perkara: (a) saya mula melabur dalam emas pada awal tahun 1990an, lama sebelum kebanyakkan orang (termasuk mereka yang buat komen di Fan Page ini) dan malah sebelum sesetengah orang lahir lagi; (b) saya telah menulis dua buah buku (1 fizikal dan 1 ebook) tentang emas dan juga menganjurkan banyak seminar tentang pelaburan ini; (c) jumlah pelaburan emas peribadi saya adalah substantial; (d) saya pemegang designation Chartered Financial Consultant (ChFC) yang bermakna saya telah menjalani latihan formal dan layak untuk memberi nasihat kewangan peribadi.

2. Tujuan saya bermula dengan poin (1) ialah untuk memberitahu sesetengah pihak yang saya lebih daripada layak untuk memberikan komen tentang subjek ini, dan bukan untuk riak. Jika tidak, adalah hamba Allah yang akan berkata saya hanya ‘tuan tanah’ dan tak tahu menahu tentang emas.

3. Baik, sekarang setelah itu diterangkan, berikut adalah komen saya tentang sistem emas ETA ini: Pertamanya ia boleh dibahagikan kepada 2 aktiviti: (1) pengusaha/supplier (perlu jual kepada orang lain); (2) pelabur (tak perlu jual kepada orang lain). Anda boleh buat satu atau kedua-dua aktiviti itu.

4. Sudah tentu mereka yang mempunyai kepentingan dalam sistem ini akan menceritakan yang indah-indah saja: ianya senang untuk dilakukan (orang tak pas SPM pun boleh buat), pembeli beratur untuk membeli emas anda, dan untungnya berlipat ganda.

5. Berikut adalah cerita disebalik tabir: untuk menjayakan bisnes ini secara konsisten, pengusaha perlu 3 elemen: modal yang besar, supply emas yang besar dan konsisten, dan supply pembeli yang besar dan konsisten.

6. Oleh kerana ramai pengusaha tidak mempunyai modal yang besar, itulah salah satu sebabnya mereka menggunakan fasiliti gadaian ar-rahnu, yang merupakan langkah meminjam wang dengan kadar bayaran balik yang tinggi i.e. boleh mencapai 18% setahun. (Poin ini telah saya komen pada post yang bertarikh 10 dan 12 Nov.)

7. Elemen yang kedua dan ketiga adalah kritikal kerana bisnes ini main masa (7 hari, 14 hari, dsb). Jika supply emas dan supply pembeli tergendala, maka bisnes ini akan pincang, yang akan membawa masalah kepada pengusaha yang akan membawa kerugian.

8. Apa yang menambahkan risiko kepada semua pihak – pengusaha dan pelabur – ialah harga transaksi ditetapkan lebih awal walhal harga emas semas naik turun setiap hari, malah ia naik turun setiap minit! Harga emas pula amat volatile (mudah meruap), yakni boleh naik turun dengan mendadak. Apabila harganya naik atau turun dengan mendadak, ramai orang akan terperangkap – yang PASTI akan berlaku.

9. Pelabur menanggung risiko yang mungkin tidak disedarinya: jika pengusaha/supplier itu mati, accident, berhenti berniaga (sebab dia buat part-time saja) atau melarikan diri sebelum pelabur mendapat emas yang dibeli (masih dalam tempoh ETA), pelabur akan menanggung kerugian.

10. Jika harga emas naik mendadak dalam masa ETA tersebut, pengusaha mungkin enggan menyerahkan emas itu kepada pelabur kerana dia akan menanggung kerugian.

11. Dan jika harga emas jatuh merudum dalam masa ETA pula, pelabur akan menanggung kerugian.

12. Jika emas yang diberikan oleh pengusaha bukan yang tulin, pelabur akan menanggung kerugian. Ini PASTI akan berlaku – hanya menunggu masa saja! (Realitinya ialah ramai orang tidak tahu bagaimana untuk mengenal pasti emas yang tulin dan yang palsu.)

13. Produk emas yang sama boleh dijual kepada ramai pelabur (sudah tentu tanpa pengetahuan pelabur tersebut). Ini bermakna semua pelabur akan tersangkut jika dan bila berlaku apa-apa masalah yang disebut dalam poin 9.

14. Jika ada pembayaran hibah, hadiah atau dividen kepada pelabur, sistem ini telah menjadi pelaburan dan oleh itu menyalahi undang-undang. (Pengusaha perlu mendapat kelulusan daripada BNM sebelum boleh menjual produk pelaburan di Malaysia.)

15. Nama salah satu pengusaha utama emas ETA – syarikat Darul Emas Perak Berhad – ada dalam blacklist BNM. Bukankah amaran yang sebesar dinosaur ini lebih daripada cukup untuk membuatkan anda melarikan diri jauh daripadanya?

16. Jadi seperti yang boleh dilihat, risiko dalam bisnes ini amat tinggi. Malah, ianya jauh lebih tinggi daripada bisnes-bisnes biasa. Bayangkan: anda mempunyai masalah untuk membuat untung daripada bisnes yang kos produknya tetap; bagaimana untuk mendapat untung daripada bisnes yang kos produknya begitu volatile? Ingat: nak beli emas itu senang; nak jual emas itu pada harga yang dikehendaki tak begitu senang!

17. Kesimpulannya? Walaupun ada segelintir individu yang buat duit daripada bisnes ini, kebanyakkan peserta akan menanggung kerugian dan kesalan.

18. Sudah tentu saya boleh silap. Jadi untuk menentukan kesahihan sistem dan pengusaha emas ETA ini, sila telefon BNM Telelink di 1-300-88-5465. Ingat – WANG ANDA yang dipertaruhkan!

19. Apa yang menarik tentang semua ini ialah bagaimana mereka yang aktif dalam emas ETA ini tidak menjawab/komen poin 3 hingga 18. Yang dia concentrate ialah untuk ‘menyerang’ poin 1!

sumber – www.jutawangold.com/perkara-tentang-sistem-emas-eta-yang-mesti-anda-tahu/

Kesilapan Pelabur-Pelabur Emas

DACING-EMAS ..

1. Melabur ikut-ikut tanpa ilmu.

Ingat, lagi tinggi ilmu, lagi banyak untung anda akan dapat dalam mana-mana pelaburan. Baca at least 1 buku pelaburan emas yang ada kredibiliti sebelum bermula dan datanglah ke mana-mana talk tentang pelaburan emas.

2. Malas

Sebaik sahaja anda sedar tentang emas, dapatkan info yang berkaitan dengan emas, sejarahnya, perkaitan dengan wang kertas, jenis-jenis emas, produk yang ada di pasaran, dan banyak lagi yang perlu anda ketahui. Jangan malas untuk mencari info dan ilmu berkaitan emas yang tidak pernah habis.

Ini akan membantu anda dari terjebak dengan skim pelaburan emas, syarikat yang menawarkan pembelian saham emas dan sebagainya. Pastikan anda beli emas – dapat emas dan jangan tertipu dengan syarikat yang menjanjikan pelbagai pulangan bulanan kerana mereka telah pun menjual dengan harga yang lebih tinggi dari syarikat emas yang sedia ada. Disebabkan itu mereka boleh memberi anda dividen. Anda harus berhati-hati kerana kebelakangan ini semakin banyak syarikat yang menawarkan pelbagai tawaran yang boleh membuatkan anda rugi.

Beberapa syarikat emas yang menjalankan skim pelaburan emas beberapa tahun dahulu masih belum selesai kes dengan BNM, oleh itu janganlah kita menambahkan bilangannya. Serbuan telah dibuat oleh BNM baru-baru ini terhadap syarikat sebegini.

3. Tunggu harga emas paling rendah untuk buat belian pertama.

Anda tak akan faham bila harga emas rendah selagi belum buat belian pertama sebab belum ada benchmark tersendiri. Cara yang lebih baik ialah beli dulu at least 1 dinar, dan lepas tu barulah boleh monitor harga. Untuk makluman anda, technical analyst harga emas yang paling pakar sekalipun tak tahu bila harga emas paling rendah.

Jangan terlalu menunggu harga rendah baru nak beli. Orang selalu cakap emas mahal, tak mampu nak beli. Ya,memang betul emas mahal, hampir setiap tahun orang kata emas mahal.. jadi masa bila emas murah?

Dulu harga emas RM16/gram pun orang kata mahal, RM38/gram pun orang kata mahal, RM90/gram pun orang kata mahal, sekarang dah nak cecah RM200+ pun orang kata mahal. Jawapannya, tahun demi tahun harga emas makin mahal. Rugilah golongan yang hanya menunggu dan melihat orang lain semakin kaya dengan emas. Apa tidaknya, dulu beli emas masa RM140/gram, sekarang dah RM200/gram..ini baru simpan sahaja dah untung, kalau yang meniaga macam mana, lagi untung!

4. Membeli barang kemas.

Barang kemas bukanlah emas pelaburan. Harga emas perhiasan lebih tinggi dari emas pelaburan dan kos workmanshipnya boleh dimanipulasi oleh kedai emas. Susut nilainya juga tinggi bila nak jual balik, iaitu sekitar 25%.

5. Membeli gold coin dan gold bar di kedai emas.

Harganya lebih tinggi dari emas pelaburan lain, dan banyak syarat yang cerewet seperti tak boleh buka seal dsb. Kalau buka seal, emas tu boleh susut nilai sehingga 25%.

6. Beli emas dengan duit yang nak digunakan dalam masa terdekat.

Emas adalah pelaburan jangka sederhana dan jangka panjang. Minimum setahun. Kalau beli hari ini, bulan depan nak jual balik, anda mungkin rugi atas spread antara 4% – 10% kalau harga emas tak naik banyak. Apatah lagi kalau harga emas jatuh.

7. Pinjam duit untuk beli emas.

Pelaburan sebenar ialah menggunakan duit lebihan yang tak digunakan, bukan dengan cara meminjam. Daripada duit tu tak dimanfaatkan dan dimakan inflasi, lebih baik melabur. Kalau tak ada duit, lebih baik berniaga, bukan melabur.

8. Membeli emas paling murah, tanpa ambil kira faktor lain.

Emas paling murah, jual balik pun murah. Kena ambil kira juga kadar spreadnya, permintaannya, syarat-syarat jual baliknya, ketulenannya, kredibiliti pengeluar dsb. Sebagai contoh, emas Public Gold dan Dinar Kelantan bukanlah paling murah, tapi ia adalah emas berpermintaan tinggi dan mempunyai kredibiliti yang tinggi. Senang beli, senang jual balik.

9. Pajak emas tanpa alasan kukuh dan tak faham teknik yang betul.

Teknik memanipulasi pelaburan emas cara memajak hanya sesuai pada 2 situasi sahaja; (1) Harga emas turun banyak, (2) Duit itu digunakan untuk perkara yang menguntungkan, melebihi kos pajakan seperti untuk pusing modal bisnes. Tip penting, kalau nak pajak 5 keping emas, buat 5 surat pajak supaya senang nak tebus satu persatu nanti. Ingat, 1 emas, 1 surat pajak.

Ramai yang menyalahgunakan perkhidmatan ar rahnu kebelakangan ini. Peranan ar rahnu ialah memberi pinjaman bercagar kepada yang memerlukan, bukan kepada mereka yang tamak. Siapakah yang tamak?

Orang yang jual dan beli menggunakan sistem/nisbah 35:65 atau 30:70. Contoh seperti ini:

Katakan emas 999 100g berharga RM10k, pembeli hanya sediakan RM3k sahaja kerana bakinya akan dibayar menggunakan hasil pajakan di ar rahnu di mana pemajak akan mendapat RM7k dan menyerahkannya kepada peniaga. Urusan dengan peniaga sudah selesai, dan peniaga kenyang sebab dapat untung besar jual emas dengan cara ini. Apa cerita dengan pembeli? Terpaksa membayar pinjaman dan kos upah simpan.

Realitinya ramai yang tidak faham tentang sistem ini, dan buat kerana terpengaruh dengan janji manis si penjual. Akibatnya ramai yang tercekik sehingga terpaksa menjual emas di dalam ar rahnu dengan harga yang rendah. Lebih menyedihkan kerana si penjual sengaja memasang perangkap ini agar dapat membeli emas di bawah harga pasaran dengan cara ini apabila dihubungi oleh si pembeli, kerana dapat menjualnya dengan harga yang lebih tinggi kepada pembeli lain.

10. Membeli emas fizikal di bank.

Biasanya emas pelaburan di bank sangat cerewet. Mereka tak terima balik kalau seal dibuka, calar, kemek dsb bila nak jual balik. Kalau tak boleh buka seal, maksudnya tak boleh pajak! Dan kalau bank tak terima, kita akan rugi 25% kalau jual sebagai ‘used gold’ di kedai emas.

11. Menjual emas ditempat yang salah.

Tempat terbaik jual emas anda ialah di mana anda membelinya. Sebelum beli, fahami dulu syarat jualan baik, dan spread (diskaun) yang dikenakan daripada harga semasa.

12. Jual emas anda tapa alasan yang kukuh.

Jangan jual emas anda tanpa sebab. Ramai yang keliru apabila diajar jual semasa harga tinggi (beli rendah jual tinggi). Jadi untuk apakah anda beli emas? Emas adalah aset unggul yang harus anda jadikan simpanan jangka masa panjang. Jika harga tinggi sahaja anda hendak jual, maka tiada apa di tangan anda nanti. Jual emas hanya untuk 5 perkara di bawah :

-Rumah
-Hartanah
-Emas dalam bentuk lain (cth barang kemas)
-Modal bisnes
-Keperluan atau terdesak

Jika anda menjual emas anda dengan harga tinggi, belum tentu anda dapat membelinya kembali dengan harga anda beli dahulu. Kecuali, jika anda mahir membaca pergerakan harga emas, anda boleh menjual semasa harga tinggi, dan menyimpan wang tersebut sehinggalah harga emas agak turun sedikit, anda beli semula. Dengan cara ini anda mendapat gram yang lebih. Anda memerlukan sedikit kemahiran menganalisis harga emas, tetapi jika anda bukanlah seorang yang suka memantau harga emas dan sibuk, cara ini tidak bersesuaian dengan anda sebaliknya anda boleh menghafal trend pergerakan harga emas, sebagai contoh setiap kali musim perayaan, harga emas akan menjunam sedikit.

13. Simpanan dalam wang kertas

Jangan menyimpan terlalu banyak wang kertas, sebaliknya simpanlah sedikit untuk keperluan kecemasan dan kegunaan seharian. Emas adalah penyimpan yang terbaik kerana ia kalis inflasi dan tidak susut nilai. Setiap kali harga emas naik, ia menunjukkan betapa lemah dan semakin susut nilai wang kertas kita. Jangan terpedaya dengan bonus, dividen dan pulangan yang ditawarkan sebaliknya kajilah berapa inflasi setiap tahun yang menyebabkan anda rugi sebenarnya.

Simpanlah emas dalam bentuk fizikal seperti dinar, bar dan pelbagaikan pula dengan barang kemas.

14. Pentingkan diri sendiri

Setelah anda menjadi seorang yang celik emas, janganlah anda hanya mendiamkan diri dan tidak menyampaikan info yang berguna ini kepada orang lain. Sebarkanlah tentang emas, perak, dinar dan dirham. Semua ini berbeza dan mempunyai matlamat simpanan yang berbeza, contohnya dinar dan dirham ditukarkan dengan wang fiat bagi tujuan untuk muamalat (jual-beli), boleh juga disimpan untuk tujuan muamalat pada masa akan datang.

Tak guna jika hanya kita seorang sahaja yang tahu tentang kepentingan emas dan sebab perlu menyimpannya tetapi saudara mara kita, rakan-rakan dan masyarakat sekeliling masih buta emas. Memang ada yang tidak boleh terima terus, gunakanlah cara yang berhemah dan yang penting anda sudah menyampaikannya.

sumber – www.emasanda.com/Kesilapan_dalam_pelaburan_emas.html

Gegar pagar tuntut RM300,000

safe_image

Kajang: Seorang ahli perniagaan hidup ketakutan selepas diugut dua lelaki yang menuntut mangsa memulangkan wang pelaburan emas ditawarkan sebelum ini.

Dalam kejadian jam 9 malam Ahad lalu, mangsa berusia 29 tahun tiada di rumah sebelum dihubungi isterinya memberitahu terdapat dua lelaki berada di luar rumah mereka di Taman Saujana di sini.

Suspek dikatakan menjerit dan menggoncang pintu pagar rumah mangsa sekuat hati.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, susulan itu mangsa bergegas pulang ke rumahnya berikutan bimbang keselamatan ahli keluarganya.

“Setibanya di rumah, dua lelaki itu memberitahu mereka datang untuk menuntut hutang.

“Suspek turut mengugut mangsa menyerahkan kenderaan mewah Toyota Vellfire dan jam tangan Rolex dipakai ketika itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa enggan akur permintaan suspek.

“Suspek kemudiannya meminta wang RM300,000 sekiranya tidak mahu kenderaannya dirampas sebelum beredar pergi.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang di sini, kelmarin,” katanya.

sumber – www.hmetro.com.my

Perbankan Islam dan jual beli Emas, apabila kerangka Usul Fiqh dibuang

islamic-banking-630x350

Antara faktor terbesar menyumbang kepada salah faham terhadap muamalat adalah apabila penilaian yang dilakukan bukan didalam kerangka disiplin ilmu Usul Fiqh.

Kerangka kefahaman Usul Fiqh masyarakat secara umum agak ringkas, cukup sekadar mengetahui apakah perkara Wajib, Sunat, Harus, Makruh mahupun Haram dan apakah kesan pada setiap satu hukum. Apabila melakukan perkara wajib mendapat pahala, meninggalkan wajib mendapat dosa dan begitulah seterusnya. Dan untuk menyokong hukum tersebut kaedah melaksanakan ibadah dan muamalat dengan betul dipelajari.

Ini kerangka mereka yang pemula didalam Ilmu Fiqh dan Usul Fiqh.

Sebab itu kita dapati apabila sesuatu isu timbul masyarakat awam ingin tahu secara mudah, apakah yang wajib buat, apakah yang haram, apakah yang sunat dan bagaimana melaksanakannya. Contoh dalam muamalat, pelanggan akan bertanya dimanakah akadnya berdasarkan pemahaman akad itu wajib didalam muamalat Islam.

Namun apabila saya mula bergelumang dengan dunia perbankan Islam, menilai masalah, melihat takyif – takyif fiqhi yang dilakukan. Mengkhatam keputusan keputusan mesyuarat ahli jawatankuasa Bank Rakyat beratus muka surat dan melihat pelbagai masalah mu’asarah didalam bank, saya dapati beberapa trend isu dan persoalan jika disusun didalam kerangka asas Usul Fiqh.

Trend paling jelas adalah apabila perbincangan yang rumit dan panjang bukanlah pada perbahasan dan perbincangan hukum taklifi (hukum yang melibatkan Wajib, Haram, Sunat, Makruh dan Harus) tetapi perbincangan yang panjang pada hukum wadha’i.

Hukum taklifi adalah hukum yang membawa natijah akhirnya wajib, haram, sunat, makruh ataupun harus. Berbeza dengan hukum wadhi’i topik perbincangan adalah pada sabab, syarat, manii”, sah, batil, rukhsah/aziimah.

Contoh apabila membincangkan mengenai perihal Bai’ Inah yang kontroversi. (kontroversi kerana hanya Imam Syafii sahaja membenarkan, maka industri perbankan timur tengah menolak konsep ini) Perbincangan yang panjang bukanlah pada boleh atau tidak Bai’ Inah, itu sekejap (walapun agak panjang) tapi yang lebih lama adalah melihat dan menilai sejauh mana tidak wujudnya inter – condition (syarat berkait) didalam perlaksanaan Bai’ Inah. Disitu dibincang pula isu sah dan batal akad, ataupun fasidnya sesuatu akad. Semua ini adalah perihal hukum wadhai’e.

Maka semua dokumen undang – undang/agreement, perlaksanaan akad, punctuation akad, sistem semuanya diperhati untuk melihat adakah antara syarat utama bolehnya Bai’ Inah iaitu tidak wujud syarat berkait antara dua akad.

Begitulah seterusnya didalam mana – mana perlaksanaan muamalat secara islamik.

Isu terbaru adalah jual beli emas. Saya lihat para penjual hanya perhati apakah hukum menjual dan membeli emas. Maka tentulah boleh ! (harus).

Namun tak ramai yang perhati apakah syarat sah penjualan emas supaya tidak menjadi riba samada dalam bentuk riba nasiiah atau riba fadhl. Maka syarat seperti perlu dibeli secara lani (terus tanpa tangguh mahupun eta) tidak diperhati. Malah menilai emas sebagai komoditi seperti penggunaan emas hulliy (yang memakai hukum komoditi) tidak diperhatikan. Sedangkan syarat ianya tidak ditimbang untuk diukur nilai untuk kekal dengan hukum hulliy semuanya dibuang entah ke mana.

Ini belum lagi dilihat struktur bisnes yang ada adakah patuh syariah atau tidak. Adakah ianya sebuah ponzi yang baru mengaut untung dengan piramid yang dibina atau bagaimana?.

Apabila kita tegur, mulalah dituduh kitapun sama sahaja backdoor riba dan lain – lain. Malah tuduhan bahawa kita tidak menyokong ekonomi orang melayu islam adalah yang paling absurd didalam hal ini.

Saya tidak kaya untuk menolong dengan duit buat masa sekarang, namun secebis ilmu yang ada saya kongsi, itu cara yang saya mampu. Bagi saya modal pertama adalah ilmu mengenai sesuatu perkara, kajilah dahulu barulah tidak menyesal dikemudian hari. Jika tidak larat untuk mempelajari Usul Fiqh dan Fiqh Muamalat, maka dengarlah nasihat mereka yang belajar.

Tidak mahu dengan pandangan saya tidak mengapa, saya orang baru, tetapi janganlah sombong dihadapan Dr Aznan Hasan, Dr Azman Mohd Noor, Dr Zaharuddin, Dr Asyraf dan ramai masyaikh didalam industri perbankan. Sifat sombong tidak akan membawa kita kemana, namun kepakaran Usul Fiqh dan Fiqh Muamalat akan memandu kita melakukan keputusan yang betul didalam urusniaga.

sumber – suatuharinanti.wordpress.com (suhailsufian)

Rujukan :
1. Kitab Al Waraqat fi Usul FIqh- Imam Juwaini
2. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Bank Rakyat
3. Resolusi Bank Negara terhadap konsep Bai’ Inah
4. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96