Kelentong ‘Datuk’ Lombong Emas

Kuala Lumpur: Berbekalkan gelaran ‘Datuk’ dan mengaku memiliki sebuah lombong emas di Kelantan, seorang lelaki berusia 50-an memperdaya lebih 500 orang membabitkan jumlah pelaburan lebih RM10 juta.

Difahamkan, syarikat berkenaan mula beroperasi Ogos lalu dengan menawarkan pulangan keuntungan yang tinggi antara 1.5 dan tiga peratus sehari daripada nilai pelaburan dan keuntungan itu mula dibayar seminggu selepas pelaburan dibuat.

Janji manis bayaran keuntungan itu membuatkan pelabur terpedaya hingga sanggup melabur antara RM3,500 hingga RM50,000. Seorang mangsa, Farid Salahuddin, 51, berkata, dia tertarik menyertai pelaburan emas itu selepas ditawarkan keuntungan yang tinggi setiap hari sebelum membentuk rangkaiannya dengan menarik ahli dalam kalangan saudara-mara dan rakan.

Katanya, pada awal penubuhan syarikat itu, dia mendapat keuntungan pelaburan beberapa ribu, namun selepas dua bulan bermula November lalu, syarikat itu tidak lagi membayar keuntungan.

“Pemilik syarikat itu licik dengan mendakwa memiliki lombong emas di Kelantan dan menunjukkan gambar proses perlombongan yang dilakukan pekerja mereka.

“Selepas berfikir panjang, saya membentuk rangkaian dan menarik kira-kira 500 pelabur dengan jumlah pelaburan RM7 juta, namun tidak mendapat keuntungan dan wang modal itu lesap,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, semalam.

Farid berkata, ramai ahli di bawah rangkaiannya langsung tidak mendapat untung dan mereka kini menuntut bayarannya.

Beliau berkata, dia membuat laporan kerana mahu menuntut kembali wang modal miliknya dan pelabur lain.

Seorang lagi pelabur dikenali sebagai Shila, 30, yang mempunyai kira-kira 100 ahli di bawah rangkaiannya berkata, dia dan rakannya mengalami kerugian kira-kira RM3 juta selepas memasukkan wang pelaburan itu ke dalam akaun syarikat dan ‘Datuk’ terbabit.

Katanya, dia kini tertekan selepas orang bawahannya menuduh dia menggunakan wang pelaburan itu, padahal dia sudah memasukkan semua wang yang dikumpul itu dalam akaun syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

: Berita Terkini Online

Emas Hilang Ditemui Semula

Gombak: Sebahagian barang kemas dianggarkan bernilai RM40,000 daripada nilai keseluruhan RM250,000 yang disamun dua lelaki di sebuah kedai emas di Jalan 11, Selayang Baru, di sini, 18 Februari lalu ditemui semula.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, dua lelaki berkenaan yang memakai topi keledar bersenjatakan sebilah parang dan tukul memecahkan cermin kaca pameran sebelum melarikan barang kemas berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata, hasil siasatan, sebahagian barang kemas itu dijumpai semula bersama motosikal berkuasa tinggi, dua topi keledar, vest dan resit pajak gadai sehari selepas kejadian itu dalam dua serbuan berasingan di daerah ini.

“Polis turut menahan sembilan orang termasuk dua wanita berusia 17 hingga 29 tahun dan setakat ini, tiga suspek dikenal pasti terbabit dalam kejadian itu.

“Malah hasil siasatan mendapati kebanyakan barang kemas itu digadai di kawasan sekitar Gombak dan Sentul dan polis kini mengesan di mana ia berada berdasarkan penemuan resit itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, semalam.

– www.hmetro.com.my

30 Minit Amah Lesap RM25,000

Petaling Jaya: Seorang warga emas kerugian kira-kira RM25,000 selepas barang kemas serta wang tunai sebanyak RM3,000 miliknya dilarikan pembantu rumah yang hanya ditinggalkan selama 30 minit dalam kejadian di Kampung Tunku, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 63 tahun dikatakan keluar dari rumahnya sebelum kembali setengah jam kemudian apabila mendapati pembantu rumah warga Sri Lanka terbabit sudah tiada.

Menurut sumber, mangsa yang cuba mencari pembantu rumahnya yang berusia 31 tahun itu kemudian terkejut selepas melihat biliknya berselerak sebelum mendapati laci tempat menyimpan barangan kemas seberat kira-kira sembilan kilogram (kg) turut digeledah.

“Selepas memeriksa laci berkenaan, mangsa mendapati semua barangan kemas bernilai lebih RM20,000 miliknya berserta wang tunai sebanyak RM3,000 lesap,” katanya.

– www.hmetro.com.my