Pelaburan Emas Linda Rafar

PELAKON dan kini ahli perniagaan, Azlinda Rafar, 33, pada mulanya tidak faham mengapa sesetengah orang menyimpan emas sebagai pelaburan masa hadapan. Baginya, pelaburan yang menguntungkan adalah dengan membeli rumah dan menjalankan perniagaan yang dapat memberikan pulangan wang yang banyak.

Bagaimanapun keadaan itu berubah apabila dia mula diperkenalkan dengan pelaburan emas melalui abang iparnya yang merupakan pembekal emas. Melalui syarikat Serambi Emas, dia yang mudah dikenali dengan panggilan Linda akhirnya terjebak dengan perniagaan berasaskan emas dan mengakui ia merupakan pelaburan yang menguntungkan.

“Daripada seorang yang tidak faham mengenai emas, kini saya dan seluruh ahli keluarga terbabit dengan perniagaan dan pelaburan emas secara aktif.

“Sekiranya saya mendapat pendedahan lebih awal mengenai emas, mungkin saya telah menceburi bidang ini lebih awal,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam baru-baru ini.

Harga sentiasa naik

Menurut Linda, dia memilih emas kerana selain mudah untuk disimpan, dia tidak perlu bimbang dengan kejatuhan harganya. Harga emas sentiasa naik dari tahun ke tahun dan boleh digadaikan pada bila-bila masa sahaja.

“Walaupun harga emas kadangkala turun naik, tetapi jika dilihat dengan lebih teliti, harganya tetap akan naik dari tahun ke tahun. Pemilik emas pula boleh menjual emas mereka pada bila-bila masa sahaja sekiranya memerlukan wang dengan segera.

“Ia ibarat simpanan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Setiap tahun ada keuntungan dan pemiliknya tidak akan menanggung kerugian selagi melabur. Tetapi emas lebih mudah diuruskan,” katanya.

Menceritakan perkembangan perniagaan emasnya, Linda memberitahu, selain ahli keluarga, di bawah agensinya dia mempunyai lebih 30 orang ejen yang bergerak secara aktif.

“Perniagaan emas adalah fokus Linda dan keluarga Linda ketika ini. Bagaimanapun, perniagaan spa dan produk penjagaan kulit kami masih berjalan seperti biasa,” katanya.

Linda memberitahu, melalui Serambi Emas, orang ramai boleh membeli sama ada kepingan emas seberat 100 gram, 500 gram dan sekilogram yang berharga RM160 satu gram (mengikut harga semasa).

“Kepingan-kepingan emas ini dibeli di Indonesia dan Switzerland dan dihasilkan oleh pengeluar yang memiliki reputasi dalam penghasilan jongkong emas 999.9.

“Saiz yang disediakan adalah bagi memenuhi kemampuan pelanggan dan dijual melalui sistem ar-Rahnu,” katanya.

Mengulas lanjut, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak 35 peratus daripada nilai emas dan bakinya akan dibiaya oleh ar-Rahnu.

“Pelanggan hanya perlu membayar secara ansuran kepada ar-Rahnu sehingga selesai dan selepas itu ia akan menjadi hak milik mutlak pelanggan,” katanya.

Setiap pelanggan yang memperkenalkan pelanggan baharu akan mendapat RM500 pada setiap pembelian.

“Sehubungan itu, mereka yang terlibat dengan perniagaan dan pelaburan emas dengan Serambi Emas pada masa sama dapat menjana pendapatan sampingan atau membayar upah simpan dan bayaran ansuran emas di ar-Rahnu sehingga pembayaran mereka selesai,” katanya.

Aura penyeri

Dalam pada itu, Linda mengakui kehidupannya berubah sejak terbabit dengan Serambi Emas. Selain sibuk mempromosikan emas di Facebook dan kepada rakan-rakan artis, dia juga mula memakai emas sebagai perhiasan selepas mengetahui kebaikannya.

“Emas mempunyai aura semula jadi sebagai penyeri wanita. Tetapi saya tidak memakai emas dengan banyak, cukuplah sebagai perhiasan secara ringkas.

“Selain menjual kepingan emas, saya sendiri menyimpan beberapa kepingan emas yang akan saya gunakan untuk promosi kepada rakan-rakan saya di mana-mana sahaja,” katanya.

Serambi Emas juga akan mengeluarkan emas seberat 50 gram pada masa akan datang untuk memenuhi permintaan pelanggan.

makanan emas menarik

Menu Makanan Emas

makanan emas menarik


emas boleh dimakan

Mineral berharga dijadikan hiasan makanan kesihatan cara orang kaya tonjol kemewahan

LAZIMNYA, kita mende­­ngar emas mineral pa­­ling berharga di muka bumi ini hanya digunakan dalam pembuatan barang kemas dan dijadikan pengu­­kur untuk penentuan mata wang.

Namun, penggunaan emas yang harganya kini mencecah RM215 satu gram sebenarnya lebih daripada itu. Malah bagi orang kaya, emas bukan saja digunakan sebagai barang perhiasan diri dan kediaman tetapi juga dijadikan bahan makanan. Percaya atau tidak, itulah hakikatnya jika seseorang itu mempunyai kekayaan dan suka bermegah dengan kekayaan yang dimiliki.

Sebenarnya, gaya hidup memakan emas ini sudah diamalkan beratus tahun dulu, malah masyarakat Mesir kuno di zaman kegemilangan Firaun menjadikan emas sebagai bahan makanan bagi menunjukkan kemewahan selain percaya tabiat memakan serbuk emas mampu mengekalkan kecantikan yang abadi.

Golongan bangsawan zaman Pertengahan di Eropah pula percaya pengambilan coklat dan gula-gula emas sebagai pembuka selera mampu ‘mengekalkan hati yang sihat’.
Mengikut fakta sains, emas boleh dimakan namun tidak menawarkan apa-apa khasiat pemakanan, malah mineral ini tidak mempunyai sebarang rasa atau dalam lain perkataan tawar.

Soalnya, bolehkah emas dimakan? Emas yang dimakan biasanya lebih lembut dan bukannya emas pe­­pejal yang digunakan dalam barang kemas bagi membuat cincin, anting-anting atau rantai leher, tetapi daun emas, kepingan emas, atau habuk emas yang ditambah untuk menjadi penghias makanan.
Daun emas tulen 24 karat adalah sangat lembut dan halus. Untuk dijadikan perhiasan biasanya dicampur de­­ngan aloi lain untuk mewujudkan tahap kekerasan yang berbeza selain melaraskan nada warna. Di pasaran, barang perhiasan boleh didapati dalam 14 karat, 18 karat atau 22 karat kerana ia dicampur dengan tembaga dan bahan mineral lain.

Emas 24 karat terlalu lembut untuk perhiasan bagi pemakaian seharian malah ia cepat lusuh. Daun emas mengambil prinsip yang sama yang mana kebanyakannya bercampur dengan tembaga dan tidak sesuai untuk dimakan. Namun, emas yang bercampur dengan perak masih boleh dimakan kerana dikatakan boleh dihadam.
Secara umum, emas dikategorikan sebagai unsur logam yang toksik untuk badan, emas tidak boleh pecah atau diserap badan kita.

Justeru, penggunaan emas yang boleh dimakan atau emas edibel ini sebenarnya hanya digunakan untuk menghias makanan dan minuman bagi menampakkan lebih mewah dan berharga. Mengikut kod pemakanan, emas dilabelkan dengan kod E175 sebagai pewarna makanan.

Di Abu Dhabi, Hotel Emirates Palace memperuntukkan lima kilogram emas yang boleh dimakan setiap tahun untuk dijadikan hiasan hidangan pencuci mulut.

Hotel itu mendapatkan bekalan kira-kira 5,000 botol serbuk emas daripada pengedar dan pengilang dari Jerman yang dianggarkan membabitkan kos RM15.8 juta (ASS$500,000) setahun.

Selain itu, serbuk emas menjadi bahan tambahan dihidangkan dalam minuman kopi ‘cappuccino’ dan penghias pencuci mulut coklat.

Di Russia, penggemar makanan dengan campuran emas biasanya akan mengambil serbuk emas untuk dimakan bersama kaviar dan tiram.

Beberapa restoran mewah di Amerika Syarikat turut menyediakan sajian emas bagi penggemar aksesori mewah itu dengan menjanjikan ‘gemerlapan di dalam’ seperti ‘bagel’ seumpama donat dengan krim keju putih dihiasi beri goji dan daun emas berharga RM3,176 (AS$1,000) setiap satu.

Pembuat gula-gula Los Angeles pula menjual Holiday Nougat, yang dibuat dengan kepingan daun emas 23 karat dan pemilik kedai aiskrim Serendipity yang terkenal di New York, Stephen Bruce, menjual ‘chocolate sundae Haute’ beku bersalut emas 23 karat berharga RM79,404 (AS$25,000).

Selain menjadi bahan makanan, emas juga digunakan dalam bidang perubatan bagi merawat beberapa jenis kanser, malah ia dikatakan mampu menjadi sebagai penyurih dalam tubuh manusia.

Satu sebatian mengandu­­ngi emas yang dikenali sebagai ‘disodium aurothiomalate’, digunakan dalam suntikan untuk rawatan penyakit artritis. Satu molekul organik yang kompleks dikenali auranofin, pula digunakan dalam rawatan beberapa kes artritis reumatoid.

Masyarakat zaman perte­­nga­­han di Eropah pada kurun ke-15 juga dicatatkan pernah menggunakan serbuk emas untuk memulihkan orang mabuk.

Kesimpulannya, jika anda mempunyai wang yang banyak dan memang suka bermegah maka tidak salah rasanya mencuba resipi 24 karat ini. Namun, tidak semua orang kaya ‘gila’ dan menjadikan hidangan emas untuk dijadikan sebagai makanan. Tepuk dada tanya selera. Adakah anda juga berselera emas?

Ayam Panggang Emas
Restoran Steakhouse Blackstone Long Island di Amerika Syarikat menyajikan ayam panggang disalur daun emas 24 karat dihidangkan bersama kentang lenyek dan lobak. Harga tidak dinyatakan.

Sushi bersalut Daun Emas
Sushi Roku di Caesars Palace Las Vegas digulung bersama daun emas 24 karat berintikan daging lembu Kobe, udang karang dan cendawan hitam.

White truffle Bagel
Restoran di Westin New York menyajikan sandwic dan bagel berinti krim keju putih ditabur serbuk emas serta beri goji dan Riesling berharga RM3,176 (AS$1,000) setiap satu

Aiskrim Sundae
Restoran New York Serendipity menjual aiskrim coklat Sundae Emas, diliputi 23 karat daun emas daun disertakan sudu khas emas 18 karat juga berharga RM3,176 (AS$1,000).

Kek Coklat Emas dan Berlian 
Usahawan Angelito Araneta Jr menjual kek coklat yang mengandungi daun emas 24 karat dan berlian kecil berharga kira-kira RM7940.42 (AS$2,500) seke­­ping. Kek itu dibuat khusus untuk lelaki yang berhasrat melamar teman wanita mereka.

Kek Perkahwinan Emas 
Kek perkahwinan bersalut daun emas banyak dijual di beberapa kedai kek di Britain namun harganya murah iaitu pada kadar RM24.50 bagi sekeping daun emas.

Capuccino Emas
Hotel Emirates Palace menjual cappuccino dengan campuran serbuk emas 24 karat dengan kulit kayu manis berharga RM79.40 9 (AS$25) secawan.

Kaviar
Kaviar atau telur ikan yang menjadi sajian mewah Russia ini ditabur serbuk emas dan dibalut dengan daun emas 24 karat berharga RM155,000 (AS$49,000).

Makanan Bersalut Emas Dari Seluruh Dunia

As-Salam.
Kalau HH kaya raya pun takkan ada hasrat nak menjamah makanan-makanan yang bersalut emas ni. Kenapa? Sebab ia dilarang mengikut syarak … kita dilarang makan dalam pinggan atau bekas yang bersalut emas dan perak … kalau tak silap la – maafkan HH kalau salah.

Namun, itulah .. apalah sedapnya makan minum yang ada emas ni? Tak faham … aduh manusia, bila dunia didahulukan …beginilah ..makanan pun nak disalut dan disadur emas. Emas itu bahan dagangan dan merupakan hiasan. Bila ada yang guna untuk sesuatu yang lain, tak ke pelik? Sama pelik juga menggunakannya sebagai susuk demi kecantikan.

Ehemm… ada kawan kata, pakai alat2 mekap yang ada sadur2 emas pun, sama je jugak macam pakai susuk…. adehhh … dia cakap la…. masa ni belum lagi terbaca fatwa mengenainya.

Makanan Bersalut Emas Seluruh Dunia

Ayam Panggang Emas

Restoran Steakhouse Blackstone Long Island di Amerika Syarikat menyajikan ayam panggang disalur daun emas 24 karat dihidangkan bersama kentang lenyek dan lobak. Harga tidak dinyatakan.
Sushi bersalut Daun Emas
Sushi Roku di Caesars Palace Las Vegas digulung bersama daun emas 24 karat berintikan daging lembu Kobe, udang karang dan cendawan hitam.
White truffle Bagel
Restoran di Westin New York menyajikan sandwic dan bagel berinti krim keju putih ditabur serbuk emas serta beri goji dan Riesling berharga RM3,176 (AS$1,000) setiap satu

 

Kek Coklat Emas dan Berlian. Foto: The Telegraph

 

Kek Coklat Emas dan Berlian
Usahawan Angelito Araneta Jr menjual kek coklat yang mengandungi daun emas 24 karat dan berlian kecil berharga kira-kira RM7940.42 (AS$2,500) seke­­ping. Kek itu dibuat khusus untuk lelaki yang berhasrat melamar teman wanita mereka.
Kek Perkahwinan Emas
Kek perkahwinan bersalut daun emas banyak dijual di beberapa kedai kek di Britain namun harganya murah iaitu pada kadar RM24.50 bagi sekeping daun emas.

 

Kopi Capucinno Emas. Foto: TendToTravel

 

Capuccino Emas
Hotel Emirates Palace menjual cappuccino dengan campuran serbuk emas 24 karat dengan kulit kayu manis berharga RM79.40 9 (AS$25) secawan.
Kaviar
Kaviar atau telur ikan yang menjadi sajian mewah Russia ini ditabur serbuk emas dan dibalut dengan daun emas 24 karat berharga RM155,000 (AS$49,000)

 

Aiskrim Sundae. Foto: Daily Olive
Aiskrim Sundae
Restoran New York Serendipity menjual aiskrim coklat Sundae Emas, diliputi 23 karat daun emas daun disertakan sudu khas emas 18 karat juga berharga RM3,176 (AS$1,000).

 

beli emas guna duit kutu

Beli emas guna duit kutu

beli emas guna duit kutuBANGGA…Kamariah menunjukkan sebahagian barangan kemas hasil kegigihannya bermain kutu.

“KALAU diikutkan, semua orang ada saja benda mahu dibeli, termasuk saya yang sentiasa terfikir untuk membeli emas. Disebabkan mahal, saya terpaksa bermain kutu dengan rakan untuk memiliki emas,” kata peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kamariah Md Hanafi, 50.

Kamariah menganggap membeli emas sebagai pelaburan menguntungkan kerana ia boleh dijadikan aset berikutan harganya sentiasa meningkat.

Katanya, bermain kutu cara paling praktikal bagi mereka yang tidak mampu atau tidak memiliki banyak wang.

“Saya menempah barang kemas sebulan sebelum menerima duit kutu. Sebaik menerima wang, saya terus ke kedai emas dan mengambil tempahan.

“Sebagai contoh, setiap seorang daripada 25 pemain kutu membayar RM50 sehari. Kami membuat cabutan 10 hari sekali dan setiap penerima mendapat RM12,500.

“Kaedah ini dilakukan sejak bertahun-tahun lalu dan ia membantu kami mengumpul banyak wang pada satu-satu masa,” katanya.

Dia yang berniaga ayam segar sejak 24 tahun lalu mengakui perniagaannya banyak membantunya memberi pendapatan tetap, sekali gus membolehkannya menyertai rakan lain bermain kutu.

Katanya, permainan kutu tidak tamat selepas masing-masing mendapat habuan, sebaliknya diteruskan supaya setiap pemain mempunyai sumber kewangan sampingan.

“Jika mahu lebih banyak wang kutu, saya akan memasukkan tiga nama iaitu anak dan adik sebagai penama.

“Itupun terpulang kepada sasaran yang hendak dibeli dan memang satu kepuasan apabila mendapat duit kutu kerana ia juga boleh digunakan untuk melangsaikan hutang lama dan menanggung anak yang masih belajar,” katanya.

Wanita gigih itu menegaskan, hasil duit kutu bukan saja membolehkannya membeli barang kemas, malah digunakan untuk membeli sebuah rumah berharga hampir RM200,000.

Kamariah berkata, minatnya terhadap barangan kemas sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya, Hanafi Ibrahim yang menjadi tukang emas.

Katanya, kehebatan ukiran arwah bapanya yang terkenal dengan panggilan ‘Napi tukang emas’ memberi laluan mudah kepadanya untuk membeli barang kemas di kebanyakan kedai di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

“Arwah bapa bersahabat baik dengan seorang perintis emas tersohor di negeri ini. Namun, disebabkan ayah hanya pandai bertukang tapi kekurangan modal untuk membuka kedai emas, saya memanfaatkan kepakarannya dan kini saya pula menjadi ‘ketua kutu’ kepada rakan peniaga lain,” katanya.

Sambil menunjukkan sebahagian barangan kemas miliknya, Kamariah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Yah mendakwa dengan hasil pelaburan itu, dia mampu membesar dan menanggung pelajaran anak hingga ke universiti.

Bagaimanapun, katanya, membentuk pasukan kutu tidak semudah disangka kerana bakal berdepan risiko seperti ahli yang tidak jujur.

“Bermain kutu memerlukan ahli yang boleh dipercayai. Saya sebagai ketua akan memilih ahli daripada rakan peniaga di sekeliling kami.

“Lagipun, kami sudah lama saling mengenali dan kebanyakan mereka ialah peniaga keropok, barangan runcit, buah-buahan dan peniaga kain.

“Kami kenal lebih 20 tahun kerana sama-sama berniaga di pasar sama. Ia juga memudahkan ‘urusan’ me­ngutip duit kutu setiap hari,” katanya yang berasal dari Tumpat, 10 kilometer dari Kota Bharu.

Hias diri, pelaburan paling utama

SEPASANG suami isteri berpakat membuka kedai emas di Kota Bharu, Kelantan tiga tahun lalu berikutan minat mendalam terhadap perniagaan itu.

Kini Tengku Nor Alani Tengku Alang, 37, dan suami, Muhamad Faris Abdul Rashid, 37, boleh tersenyum puas apabila Putri Jewels semakin mendapat tempat di hati penggemar emas dengan lima cawangan sendiri, selain dua cawangan francais.

Menurut Tengku Nor Alani, kebanyakan masyarakat tempatan gemar menjadikan barangan kemas bukan hanya sebagai perhiasan tetapi turut menjual atau melabur saat harga melonjak di pasaran.

“Boleh dikatakan dalam sehari, kita memperoleh 10 orang atau lebih pembeli emas yang rata-rata menjadikan ia sebagai perhiasan diri atau untuk pelaburan.

“Jangan terkejut jika ada lelaki datang membeli jongkong emas melebihi dua kilogram. Bayangkan harga satu kilogram jongkong emas kira-kira RM170,000 ke atas, jika jongkong yang ada lakaran atau ‘paten’ harganya mencecah RM181,000 sekilogram.

“Kebanyakan pembeli membuat belian bukan hanya untuk satu kilogram. Kalau dilihat gaya pakaian yang sederhana, anda tidak akan percaya mereka mampu membeli emas dalam jumlah sedemikian.

“Kebanyakan mereka adalah golongan peniaga, pesara, guru atau yang tahu selok-belok emas dan mereka akan menjualnya semula apabila harga mencapai sasaran keuntungan.

“Mungkin ketika menjualnya, harga melonjak dan mereka mendapat pulangan maksimum. Itu tidak termasuk mereka yang gemar menjadikan syiling emas (dinar) atau wang perak (dirham) atau pelbagai bentuk koleksi lain untuk tujuan sama.

“Tepuk dada tanya selera dan terpulang kepada individu untuk menyimpan emas mengikut cara masing-masing,” katanya.

Jika Putri Jewels milik pasangan suami isteri, Kedai Emas & Permata Mohd Said, iaitu kedai emas paling lama di Kelantan, adalah legasi perniagaan keluarga.

Seorang anak Allahyarham, Razali Mohd, 59, adalah generasi kedua mengusahakan perniagaan yang dirintis bapanya sejak 1960-an.

Menurut menantunya, Rohani Mohamad, 53, kebanyakan orang di negeri Cik Siti Wan Kembang gemar membeli barangan kemas untuk tujuan perhiasan dan pelaburan.

“Tidak dinafikan, sambutan terhadap jualan emas setiap hari sentiasa ada pembelinya antara 10 hingga 20 orang memandangkan kebanyakan mereka berfikiran jauh.

“Rata-rata masyarakat di sini gemar memiliki emas dan budaya itu tertanam dalam masyarakat sejak dulu sebab ia sungguh berguna kepada pemiliknya.

“Yang menarik, sepanjang berniaga sejak berpuluh tahun dulu, persaingan sesama peniaga sangat positif. Lebih membanggakan, tahun lalu kedai kami mendapat Anugerah Harga Patut disampaikan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Sambutan hangat masyarakat Kelantan terhadap emas juga mendorong
syarikat tersohor, Habib Jewels Sdn Bhd, membuka cawangan ke-22 di negeri itu.

Menurut pengurus cawangannya, Rosmayati Harun, ketika pembukaan cawangan itu pada 14 Oktober 2010, jualan melebihi RM200,000 dengan jumlah pelanggan lebih 500 orang.

“Sebenarnya, dalam usia lebih 50 tahun syarikat ini, walaupun ia bermula di Pulau Pinang, kebanyakan ejennya dari Kelantan.

“Untuk itu, inisiatif pembukaan cawangan ini adalah sebagai penghargaan kepada mereka yang gemarkan koleksi Habib yang sentiasa mengikut aliran terkini.

“Pemerhatian terhadap trend pasaran di sini mendapati, mereka membeli emas kerana pelaburan yang dianggap berbaloi dan ramai orang tempatan suka emas 916.

“Namun ada juga yang sukakan permata dan untuk itu promosi terhadap emas mahupun permata sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, terutama musim
cuti sekolah atau perayaan tertentu,” katanya.

Harga emas jarang menjunam

MEMBELI emas sebagai pelaburan sudah lama menjadi amalan wanita di pantai timur, terutama di Kelantan. Jika tidak memiliki walau seurat emas, dia seolah-olah tidak sempurna pada pandangan masyarakat, budaya atau cara hidup golongan Hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Jika dulu hanya wanita membeli barang kemas sebagai perhiasan, trend hari ini makin berubah apabila lelaki turut membeli logam berharga itu sebagai pelaburan atau mengekalkan reputasi.

Perkara itu diakui pemilik Dyana Jewels, Datuk Suhaimi Hashim yang berpengalaman lebih 12 tahun di bidang berkaitan dengan meneruskan legasi perniagaan ibunya di Kuala Terengganu dan kini memiliki beberapa cawangan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, gagasan menguasai ekonomi baru dunia memperlihatkan China dan India sebagai negara paling ramai rakyatnya memiliki emas, diikuti Vietnam.

“Kebanyakan rakyat di negara berkenaan menjadikan emas sebagai aset untuk dilaburkan di kala kehidupan susah. Ini kerana mereka percaya emas tidak pernah susut nilai atau menurun.

“Hakikatnya, harga emas jarang menjunam berbanding komoditi lain. Tidak hairan jongkong emas kini menjadi pilihan ramai lelaki yang didorong sifat ingin mengekalkan kekayaan kerana harganya sentiasa stabil di pasaran. Kalau jatuh pun, ia hanya sementara.

“Disebabkan ia pelaburan menguntungkan, emas kini bukan sekadar lambang status diri semata-mata,” katanya.

Suhaimi turut membuat perbandingan antara kereta dengan emas. Sebagai contoh, kebanyakan kereta yang dibeli dengan harga RM100,000 akan susut nilai sehingga RM50,000 apabila digunakan selama lima tahun berbanding emas yang dibeli dengan harga RM20,000 mungkin bernilai RM200,000 dalam tempoh lima tahun lagi.

“Ini menyebabkan permintaan terhadap emas sentiasa tinggi berbanding barangan lain,” katanya.

Sebagai perbandingannya, katanya, harga satu aun emas cuma RM30 ketika beliau mula menceburi bidang itu 12 tahun lalu tetapi kini meningkat tujuh kali ganda.

Mengenai jenis emas, Suhaimi berkata, ‘emas 10’ atau 999 iaitu bersamaan 24k (karat iaitu 99.9 peratus kandungan emasnya (tulen) paling mahal di Malaysia.

Ini diikuti ‘emas 95’ (950) yang juga dikenali sebagai emas pound (23k iaitu 95.4 peratus kandungan emas tulen) dan ‘emas 916’ (22k iaitu 91.6 peratus kandungan emas tulen).

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pembeli memilih emas 916 kerana ia dianggap ‘standard’ sama ada di segi harga atau piawaiannya.

Bagi mengelak ditipu, Suhaimi menasihati bakal pembeli meneliti tanda ‘karat’ pada perhiasan emas dijual, selain tanda atau cop dagangan untuk mengenal pasti pembuatnya.

Menurutnya, di kebanyakan negara, setiap pengeluar barang kemas diwajibkan mengecop simbol karat pada perhiasan emas dan dikawal melalui sistem ‘hallmark’ (cap kempa) yang berasal daripada Goldsmiths’ Hall, London sejak abad ke-14. Peraturan itu diwajibkan di Belanda, Mesir, Britain, Perancis dan Bahrain.

“Di Malaysia, kebiasaannya cop diletakkan di kancu emas sama ada jenis 999, 950, 916. Selain itu, ada juga dicop dengan karat seperti 22k, 18k, 14k. Ada juga dicop bersama tempat pengeluaran barang kemas itu.

“Ia penting kerana jika tiada undang-undang mengawalnya, pengilang akan sewenang-wenangnya mengecop sendiri barang kemas mengikut cop perusahaan mereka, termasuk karat dan ketulenan, tanpa pengawasan. Oleh itu, pengguna mesti bijak dan perlu mengambil resit yang mencatatkan jenis emas dibeli. Jika bercanggah dengan apa yang tercatat pada resit, pembeli boleh membuat aduan,” katanya.

Bagaimanapun, bak kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam, Suhaimi mengakui hanya segelintir orang dapat mengenal pasti sama ada emas dibelinya tulen atau palsu.

“Macam saya yang sudah lama di bidang ini, melihat pada jarak tiga meter pun saya dapat agak ia palsu atau tulen.

“Kita boleh lihat di segi warna dan beratnya serta pelbagai cara lain. Yang penting, beli barang kemas di kedai emas, bukan daripada orang sembarangan.

“Ada segelintir individu menawar untuk menjual barang kemasnya kepada orang ramai dengan harga terlalu murah dengan alasan terdesak dan perlukan duit segera. Perbuatan ini sungguh mencurigakan kerana kalau benar-benar perlukan wang, dia boleh menjualnya di kedai emas yang membeli dengan harga tinggi. Ia tentunya menimbulkan syak kerana kemungkinan emas itu palsu,” katanya.

Suhaimi juga menjelaskan, emas perlu dicampur dengan logam lain kerana ia terlalu lembut hingga tidak sesuai dipakai seharian.

“Emas perlu dicampur dengan logam lain supaya lebih keras dan tahan lasak. Menambahkan logam lain sebagai campuran ‘metallurgists’ membolehkan anda menukar warna emas. Paladium atau nikel boleh ditambah untuk mencipta emas putih. Tembaga ditambah untuk menghasilkan warna mawar atau merah muda.

“Saduran emas adalah proses yang menggunakan kaedah elektrolisis. Lapisan emas pada barang kemas yang menggunakan kaedah saduran biasanya lebih nipis berbanding dalam bentuk emas salutan.

“Istilah mencuci emas atau mengilatkan barang kemas setahun sekali menggambarkan lapisan emas yang disadur sangat tipis,” katanya.